BUKAN senang
mahu menjalani kehidupan 'perkahwinan aturan keluarga'. Entah lah, orang kata,
kita cuma perlu reda dan terima pasangan seadanya. Walaupun tanpa suka dan
sayang, jauh lagi cinta... bila kita reda, segala urusan akan dipermudahkan.
Ya lah. Kalau pasangan kita sempurna
serba serbi, boleh lah rasanya nak terima 'seadanya'. Entah lebih mudah kut nak
jatuh cinta. Tapi! Kalau dia kurang serba serbi, kita nak terima apa? Rupa tak
ada, harta tak ada, cinta lagi lah tak ada... Ergh!
Aku pernah cuba terima dia demi keluarga
kedua-dua belah pihak kononnya, tapi dengan sikap dinginnya, rupa selekeh nak
mampus, nak tak nak je layan aku, isteri mana tak geram? Nak lagi aku ni tahap
sabar bukan tebal mana. Ya, aku memang tak ada perasaan terhadap dia tapi bila
aku buat baik tak boleh ke dia buat baik juga?
Aku cakap secara elok, dia buat telinga
tuli. Tinggikan suara sikit, terus cap aku kurang ajar. Aku masak dia tak
makan. Esok pagi terpaksa buang makanan yang sudah berbuih basi. Aku tak masak
dia perli-perli aku. Aku kemas rumah dia ajak kawan dia datang. Akhirnya
bersepah semula rumah. Hari cuti dia berkurung seharian dalam bilik. Keluar
cuma untuk ke tandas dan makan. Masa selebihnya dia terperap seorang dalam
kamarnya.
Lebih menyakitkan hati, setiap kali aku
tunggu dia pulang kerja, dia langsung tak balik rumah. Seperti tahu saja aku
tunggu kepulangan dia. Keesokan harinya bila aku sudah bersiap untuk ke tempat
kerja, baru nampak batang hidung. Tak tahu lah tidur mana malam tu.
Aku faham dia tak suka aku. Aku sudah
maklum sejak hari pertama kami bergelar suami-isteri lagi. Tiada majlis
besar-besaran, gilang-gemilang.... cuma akad nikah dan makan-makan kecil saja.
Katanya, dia tak punya banyak duit untuk dibazirkan. Itu pun aku keluarkan
sikit simpanan aku untuk majlis kecil kami.
Orang tua aku tak banyak komen. Diam dan
hanya lihat. Beban majlis sepenuhnya atas bahu kami. Sebenarnya, atas bahu aku.
Dia bagi aku duit dan aku uruskan sendiri. Orang tua dia juga begitu. Endah
tidak endah dengan aku dan keluargaku. Aku juga tak mahu kahwin tapi aku yang
terpaksa menguruskan kesemuanya.
Entah lah, tidak aku mengerti mengapa kami
berdua disatukan. Kami saling tidak suka, mengapa perlu dinikahkan? Sebelum ini
sudah puas aku membantah dan menangis, juga hampir melarikan diri, namun orang
tuaku merayu-rayu... memeluk aku erat... dan berbisik di telinga aku supaya
bantu mereka.
“Tolong kami, nak... Tolong kami. Balas
jasa kami.”
Ya Tuhan! Disebabkan bisikan sayu itu aku
terpaksa layukan hati untuk teruskan rancangan gila ini. Dan sehingga sekarang
aku tertanya-tanya, aku perlu tolong dari segi apa? Kewangan? Kewangan keluarga
aku lebih kukuh dan stabil berbanding keluarga dia. Balas jasa mereka? Aku wanita
bekerjaya, setiap bulan aku masukkan ratusan kadang kala hampir ribuan ringgit
dalam akaun orang tuaku. Apakah itu tidak cukup?
Apa yang keluarga dia telah lakukan kepada
keluarga aku sehingga aku yang jadi mangsa tebusannya? Atau apakah keluarga aku
hutang nyawa dengan keluarga dia? Keluarga dia orang biasa, sangat sederhana.
Golongan yang tidak bermewah-mewahan. Aku buntu, mengapa orang tuaku paksa dan
merayu-rayu aku berkahwin dengan lelaki itu. Setiap kali aku merungut, orang
tuaku meminta aku bersabar dan tolong mereka.
Masih banyak persoalan tidak terjawab dan
aku tidak tahu mahu bertanya siapa memandangkan orang tuaku memilih untuk
berahsia. Mereka cuma memesan agar aku terus buat baik kepada suamiku walaupun
suamiku tidak melayan aku dengan layanan sepatutnya.
Disebabkan hal itu, aku tidak buat hal
atau masalah. Aku juga tidak reti mahu cari pasal. Aku cuba berlagak biasa dan
bahagia biar pun suamiku lepas tangan sepenuhnya, tidak lakukan tanggungjawab
dia terhadap aku. Nafkah zahir langsung tidak diberi, mujur aku ada duit
sendiri. Nafkah batin jangan ditanya, dia pandang aku pun tak lalu gamaknya.
Rumah buruk setingkat ini rumah dia. Dia
mahu kami tinggal di sini. Bukan bersama dengan keluarganya. Aku tidak kisah
tinggal di mana-mana, kerana awal-awal lagi orang tuaku sudah beri amaran, ikut
cakap suami. Entah sampai bila aku perlu tinggal di sini. Hampir setengah tahun
masing-masing buat hal sendiri. Bila-bila masa saja aku boleh dihalau keluar. Kami
bagai orang asing, yang membezakan cuma wujudnya ikatan halal antara aku dan
dia.
Tidak banyak aku tahu tentang dia.
Sebenarnya aku cuma tahu nama dan umur dia. Haq Raez. 34 tahun. Beza umurnya
dengan aku hampir tujuh tahun. Mungkin disebabkan perbezaan umur yang agak
banyak menyebabkan kami tidak boleh 'masuk'. Aku sentiasa cuba mahu berkawan
dengan dia, namun dia sering menolak kehadiran aku. Aku rasa seperti perempuan
terhegeh-hegeh. Hidung tak mancung tapi pipi tersorong-sorong.
Kami tidur berasingan. Dia yang keluarkan
arahan tersebut. Aku pernah masuk bilik dia untuk mengemas dan kutip baju
kotor, akibatnya aku ditengking dan dipulau selama sebulan. Begitu sekali dia
jaga privasinya. Baru setengah tahun, masih muda lagi usia rumah tangga kami,
jadi aku tak berniat nak robohkan masjid sendiri, walaupun dia begitu... tak
ada rupa, tak ada harta, tak ada rasa, tak ada cinta, namun aku sebagai isteri
sedaya upaya cuba menyenangkan hatinya.
Bagi aku, walaupun jodoh ni aturan
keluarga, tapi tetap dari Allah. Andai dia bukan jodoh aku, aku takkan
berkahwin dengan dia. Jadi bila kami berjaya disatukan, maka memang benar di
luh mahfuz tercatat nama aku dan namanya sebagai pasangan suami isteri.
ITU lah
kisah aku serba sedikit. Isteri yang tidak diingini. Agak kecewa dengan takdir
dan dugaan yang tertulis, tapi lebih kecewa jika tiada ujian untuk aku. Ujian
itu tanda Allah masih pandang dan sayangkan aku. Tak apa lah, tak mati pun tak
disayangi dan dicintai suami.
Aku sedang siapkan juadah makan malamnya.
Udang masak tempoyak, kerabu ikan bilis, sambal belacan. Sirap limau ais dan
potongan mangga. Harap dia makan walaupun kesudahannya aku yakin pasti di tong
sampah. Tak mengapa, asalkan aku laksanakan tugas sebagai seorang isteri. Dia
mahu terima atau tidak, terpulang lah.
Entah jam berapa dia akan pulang malam
ini. Biasanya sekitar pukul 11.30 malam aku tidur, dia masih tidak pulang. Jauh
di sudut hati, teringin aku berbual dan makan bersama dengannya. Setiap hari
menyepi dan bersendiri, kadang kala aku berasa bosan. Hmm... Sudah suami tak
mahu dekat, apa lagi harus aku lakukan.
Dengar enjin kereta memasuki perkarangan
rumah, aku terpanar seketika sebelum segera kemaskan meja dan berlalu keluar.
Menanti di ruang tamu. Lihat jam baru pukul 9 malam. Awalnya dia pulang. Tak
pernah dalam sejarah. Sebenarnya ini pertama kali dalam setengah tahun
perkahwinan kami, dia pulang kerja awal. Tak mahu tipu perasaan sendiri, aku
memang rasa berdebar.
Tak memberi salam, dia buka pintu. Melihat
aku di hadapan memandang dia, dengan pipi yang mungkin merah... dia kaget
beberapa saat. Tak lama kemudian baru dia tutup pintu dan menjeling aku sebelum
berlalu pergi. Sentap di hati, tapi aku pamer muka biasa.
Aku rasa betul telahan aku, dia kerja
sebagai mekanik. Pakaian dan wajah dia comot dan kotor. Oh ya lah, mekanik saja.
Asalkan pekerjaan halal, aku tak pandang status dia. Dia cuci tangan sebelum
duduk di hadapan meja makan. Dari belakang aku pandang dia. Tak berani nak
menegur. Tak pernah hadapi situasi begini. Nampak dia diam lama di situ. Ambil
bau saja ke? Serius? Patut lah selama ni makanan tak berusik.
Perlahan aku menapak mendekati dia. Nak
berhenti di meja makan, aku takut dia tak suka, jadi aku pura-pura ke sinki.
Cuci tangan lama-lama. Masih tak dengar dia cedok nasi ke dalam pinggan, aku
tutup paip dan beranikan diri berpaling memandang dia.
Zappp! Hati terus dipanah cupid. Cupid apa
tak tahu tapi memang aku terpaku di situ. Matanya tajam menikam mata aku. Aku
tak tentu arah. Berdiri pun dah macam orang nak terkucil. Nak buat apa ni?!
Kenapa dia pandang aku? Makan laaa nasi tu!
“Tak nak makan?”
Err dia tanya aku dengan suara garaunya.
Aku lapar, dan rasa bebal sangat sebab aku geleng kepala.
“Okey. Layan saya makan.”
Arahan ke tu? Aku masih teragak-agak.
“Cepat lah.” Suara dia naik setakuk.
Pandai pula kaki aku melangkah sendiri ke arah dia. Dia pandang aku sebelum
pandang nasi. Oh okey aku faham. Nasi aku cedok ke dalam pinggannya.
“Lauk.” Sepatah saja dia kata dan aku
terus cedok lauk untuk dia. Ya Tuhan, kenapa aku jadi macam orang bongok ni.
Air sirap limau aku tuang ke dalam gelasnya.
“Duduk teman saya.”
Aku menurut tak banyak cakap. Terasa doa
dimakbul Tuhan bila dia keluarkan arahan itu. Baru sekejap tadi doa nak makan
sama dengan dia. Dah Allah tunaikan. Muka kutunduk ke bawah, sembunyi senyum. Nampak
bekas nasi, terus telan liur. Hmm tak berani nak ambil sebab tadi aku geleng
kepala gedik sangat tak nak makan. Menyesal pula.
Terangkat muka aku bila dia letak pinggan
berisi nasi di depan. Aku pandang dia dengan muka tak percaya.
“Makan sekali.”
Ohh, Tuhan. Aku tersentuh. Pertama kali
dia balik awal, pertama kali dia prihatin, pertama kali dia ajak aku makan
sekali begini. Berhati-hati aku cedok lauk ke dalam pinggan. Dia bacakan doa
sebelum kami mula makan. Senyap saja sepanjang makan malam. Aku tak kisah sebab
perubahan dia yang sedikit itu sudah berjaya buat aku khayal sendiri.
Kenapa aku jadi gembira dan teruja macam
ni? Mungkin sudah terlalu lama aku keseorangan, mengharapkan perhatian daripada
dia. Biarpun perhatian tu bukan sebagai suami, sebagai kawan malah sebagai
teman serumah pun aku terima dengan rela hati.
KEESOKAN pagi, aku buat sarapan dengan wajah berseri-seri. Mi goreng, nugget veggie dan
susu coklat. Perhatian yang sangat sedikit semalam mampu mengubah mood aku
menjadi ceria dan bersemangat. Siap hidang di atas meja, aku melangkah ke ruang
tamu. Mahu memakai tudung. Masa itu juga dia keluar bilik, dengan pakaian yang
serba ringkas. Tak kerja ke? Aku cuma mampu menyoal dalam hati.
Perubahan seterusnya, dia keluar
bilik pagi-pagi. Sebelum ini, dia takkan keluar bilik sehingga aku sudah
berangkat ke kerja. Kenapa? Dia mahu sarapan sama-sama ke? Ya Tuhan, kenapa
hati rasa bahagia sangat? Berbunga-bunga
mekar kembang dan mampat setaman.
“Nak pergi kerja ke?” Dia bersuara dulu.
Aku cuma mengangguk mengiakan dan teruskan
lilitan shawl. Tak tahu lah, kenapa
aku tak nak buka mulut keluarkan suara. Kalau tidak, memang aku saja yang
banyak cakap. Dia tak mahu bercakap. Mungkin janggal dengan perubahan sikapnya.
Aku melihat melalui biasan cermin, dia ke
dapur. Duduk di kerusi. Seperti semalam, dia cuma diam tak buat apa-apa. Tak
syak lagi, selama ni dia tak makan apa saja yang aku masak sebab aku tak layan
dia di meja. Alahai... Anehnya perangai. Kalau lah dia beritahu aku sebelum
ini... Sudah aku tunggu dia setiap malam untuk melayan dia di meja makan.
Aku sudahkan lilitan dan segera
mendekatinya, cedok mi dan letak nugget veggie untuknya. Selepas itu aku tuang
susu coklat. Tanpa diminta, aku duduk di hadapannya. Belum sempat aku cedok
untuk diri sendiri, dia terlebih dahulu buat untuk aku.
“Makan.”
Perubahan dia semakin ketara. Entah apa
atau entah siapa yang mengubahnya. Sebelum ke kerja, aku beranikan diri
bersalam dan minta diri daripada dia. Dan dia sambut usaha aku dengan baik!
Kali kedua aku cium tangan dia... aku rasa
beban dipulau suami selama ini terangkat sedikit demi sedikit. Ya, jujurnya
memang pedih sangat dipulau suami sendiri.
No comments:
Post a Comment