Saturday, August 15, 2020

BAB 3 - DENDAM TERAKHIR SEORANG LELAKI

             


HARI ini cuti. Tak tahu lah dia cuti ke tak tapi lepas makan tengahari tadi dia keluar. Aku tak tahu dia ke mana, dia juga tak cakap. Aku malas menyibuk walaupun sebenarnya aku mahu sangat tahu dia ke mana. Seperti biasa, bila cuti aku layan movie di laptop. 

Kalau sebelum ini aku layan di bilik tapi hari ni aku mengada-ngada layan movie di ruang tamu. Mana lah tahu suami aku nak join ke kan? Ada lah peneman nanti. Tak apa, berangan-angan itu free!

Khusyuk sangat aku menonton movie inggeris itu sehingga tak sedar ada mata lain yang menonton sama. Melompat terus aku melihat dia sudah enak bersila di sebelah. Bila masa dia balik?!

“Awak...?” Terpaku aku melihat rupa dia. Haq ke tu? Rambutnya sudah pendek dan kemas. Berubahnya rambut dia menjadikan keseluruhan penampilan dia juga kelihatan lain. Kelihatan lebih berupa dan kacak.

“Ya saya.” Dia jungkit sebelah keningnya. Aku tak sangka Haq boleh jadi sekacak ini. Rambut je kut yang lain?! Adakah rambut mampu mengubah segalanya? 

“Awak pergi gunting rambut ke tadi?”

“Ya.” Sepatah je dia balas. Malas melayan agaknya. Dah sahih la dia potong rambut sebab sebelum ini rambutnya sedikit panjang dan tidak kemas. Sangat selekeh pada pandangan mata aku.

“Kenapa potong?”

“Kenapa? Tak boleh?”

Aku pun tak pasti kenapa aku tanya dia begitu. Tak dapat terima hakikat kut dia nampak lain. Handsome sangat lah pulak! “Bukan tak boleh. Cuma tertanya-tanya...”

“Tak payah tertanya-tanya. Pergi ambilkan saya air.” Dia tekan space bar, pause movie yang sejak tadi bergerak. Aku berdeham kecil sebelum menurut arahannya. Weh asal kau makin berdebar? Aku menyoal diri sendiri.

Habis saja air dia teguk, dia beredar masuk bilik tanpa sepatah kata. Hmm nampaknya dia memang akan habiskan masa bersendiri. Maka, jangan berangan dia mahu join aktiviti tak berfaedah aku. Aku teruskan menonton movie sebelum sayup-sayup kedengaran suaranya memanggil nama aku. Lekas aku pause dan berdiri memasang telinga.

“Rayla...”

Ya lah memang dia panggil aku. Aku menghampiri biliknya.

“Rayla masuk bilik saya sekejap.” 

Masuk bilik dia? Biar benar? Serius ke? Nanti dia pulau aku lagi, kesian aku teraniaya tak sudah-sudah.

“Rayla... cepat lah!”

“Ya.. ya... saya masuk. Saya masuk ni. Kenapa?” Aku segera masuk ke dalam tak fikir apa-apa lagi. Pintu aku biarkan terbuka. Macam pelik je berdua-duaan dengan dia dalam biliknya. Padahal kami suami isteri?

“Tutup pintu.”

“Haa?”

“Hish...” Dia bangkit menutup pintu. “Setiap kali masuk bilik saya, pastikan pintu ditutup.” Selepas itu selamba dia tarik tangan aku menuju ke arah katil bujang miliknya. Tengok, punya lah tak nak tidur dengan aku sampai katil pun dia pakai katil single. 

“Nah tengok gambar ni.” Dia hulur sekeping gambar yang agak lusuh. Aku melihat gambar itu sekilas namun selepas itu aku melihat sekali lagi dan merenungnya lama. 

“Kenal?”

Aku tak cepat beri jawapan. Sebaliknya aku fikir dulu dalam-dalam. Aku seperti pernah lihat gambar ni cuma aku ingat-ingat lupa. Gambar seorang bayi, sudah lama benar.

“Kenal tak?”

“Kejap.” Aku teliti betul-betul. Yaa lah! Dia adik aku! Aku pernah terlihat bayi ini dalam album lama di bilik orang tuaku. Aku tak berapa ingat sebab orang tua aku tak bagi lihat gambar waktu kami bayi.

“Arwah adik saya ni. Mana awak dapat gambar dia?” Aku menyoal dia yang nampak tegang. Dah kenapa pula dengan dia tu? Aku ada salah cakap ke? Arwah adik aku meninggal dunia lima tahun lepas akibat daripada kemalangan jalan raya.

“Adik awak?”

“Ya dia adik saya. Kenapa? Awak kenal dia?”

“Mama dan papa tak bagitahu apa-apa pada awak? Kenapa awak kahwin dengan saya?” 

Aku sudah berfikir yang bukan-bukan bila dia tanya soalan itu. Ada benda yang tidak kena dan aku tak diberitahu walaupun sepatutnya aku diberitahu.

“Tak... Mereka tak bagitahu apa-apa pada saya. Saya cuma diminta dan dirayu berkahwin dengan awak tanpa sebab yang jelas. Kenapa ni? Apa yang saya tak tahu? Ada kena mengena dengan adik saya ke?”

“Jadi selama ni awak tak tahu kenapa saya kahwin dengan awak dan layan awak sebegitu teruk?”

At least, dia sedar juga dia layan aku dengan teruk. “Saya cuma anggap awak masih tak boleh terima saya sebagai isteri awak. Saya tahu awak tak sukakan saya. Dari cara awak, pandangan mata awak pada saya pun saya faham. Jadi saya berusaha sendiri untuk... untuk buat awak... awak...” Aku teragak-agak, tak dapat meneruskan ayat. Untuk apa aku berusaha dan bertahan selama ni? Aku cuma mahukan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga.

“Saya cuma nak menyenangkan hati awak.” Akhirnya itu yang aku kata.

“Ya Allah Ya Tuhan... Rayla Harlin...” Dia raup wajah berkali-kali. Langsung berdiri membelakangi aku. Mengusutkan rambut pendeknya. Bertambah banyak tanda tanda dalam kepala aku melihat reaksi anehnya.

“Kenapa, awak? Apa yang saya tak tahu? Kenapa saya perlu berkahwin dengan awak? Kenapa mama dan papa paksa saya kahwin dengan awak? Kenapa awak tak nak layan saya elok-elok sebelum ni?” Aku hamburkan persoalan yang kian terbenam di minda. Bila dia ungkit semula, serta-merta aku teringat persoalan-persoalan yang belum terjawab.

“Haq Raez...” Aku memanggil namanya buat pertama kali. Lambat sekali dia berpaling memandang aku.

“Tolong beritahu saya... I know nothing about this.”

Dia menghampiri aku, membawa aku berdiri dan memegang kedua-dua belah bahu aku. “Tolong beritahu saya semua yang saya tak tahu, Haq Raez...”

“Saya minta maaf, Rayla. Saya minta maaf sebab menganiaya awak yang tak tahu apa-apa. Kesiannya isteri saya... Saya fikir mama dan papa sudah beritahu awak dan motif awak berkahwin dengan saya.” 

Jadi, perkahwinan ini memang bermotif. “Saya tak nak kata maaf awak. Saya nak tahu apa yang awak, mama dan papa rahsiakan daripada saya.”

“Rayla...” Tanpa disangka dia bawa aku ke dalam pelukannya. Pelukan kali pertama. Erat dia merangkul pinggang aku, membenamkan wajahnya di leher aku. Entah kenapa aku rasa dipergunakan dan diperbodohkan oleh mereka bertiga. Laju air mata mengalir keluar.

“Awak, beritahu saya... Please, saya rasa macam bodoh sangat...”

Perlahan dia lepaskan pelukan. Merenung mata aku dengan penuh kisah tersirat. “Haira bukan adik awak. Dia adik saya. Dia adik saya yang mama dan papa ambil sejak bayi.”

Haira… What? Terkelip-kelip mata aku memandang dia. Mukanya yang serius menjadikan jantung aku bagai mahu berhenti berdegup. Adik aku adalah adik dia? Apa ni?

“Mama dan papa ambil adik saya, mereka menganggap umi dan abah tak mampu besarkan adik saya. Kami memang keluarga miskin. Sejak saya bekerja, baru lah keluarga saya hidup dengan elok. Tapi semiskin-miskin keluarga saya, rezeki adik saya pasti ada. Allah akan limpahkan rezeki buat kami satu hari nanti. Mama dan papa tak patut ambil adik saya daripada pangkuan keluarga. Tak patut!”

Aku yang mendengar langsung tak terkata apa. Cerita mengarut apa dia beritahu aku ni? Sedang mabuk ketum ke?

“Mama dan papa sejak dulu memang golongan berada, orang kaya. Mereka kesiankan kehidupan umi dan abah. Tak sanggup melihat umi dan abah besarkan dua orang anak, jadi mereka insist nak ambil adik saya. Dengan janji mereka akan pulangkan adik saya sebelum dia berumur 15 tahun. Umi dan abah terpaksa akur dengan permintaan tu, sebab mama dan papa selalu datang merayu-rayu, dan yang lebih malangnya umi dan abah ada hutang dengan orang yang tak sepatutnya. Keselamatan kami terancam.”

“Jadi, mama dan papa tolong bayarkan hutang tu dan sebab umi dan abah nak balas budi... umi dan abah terpaksa lepaskan Haira dengan berpegang pada janji manis mama dan papa. Dan janji cuma tinggal janji. Bila tiba masa yang sepatutnya, mama dan papa beralasan tak sanggup berterus terang dengan Haira tentang perkara sebenar.”

“Tegarnya hati keluarga awak buat begitu... Tegarnya hati keluarga awak memisahkan anak dan orang tua kandungnya. Tegarnya hati keluarga awak, memisahkan saya dan satu-satunya adik saya.”

Astaghfirullahalazim. Mengucap panjang aku. Sungguh lah aku tidak pernah tahu cerita ini. Mungkin niat orang tuaku baik tapi jelas di sini caranya salah. Salah satu keluarga teraniaya dan jelas keluarga Haq yang menderita.

“Umi dan abah pernah berkeras nak mendedahkan segalanya pada Haira. Tapi mama dan papa bijak, sangat bijak... mereka minta kebenaran Haira habis belajar terlebih dulu supaya kebenaran 'pahit' nanti tak mempengaruhi pelajarannya. Umi dan abah sekali lagi mengalah. Haira habis SPM, berpeluang belajar di luar negara. Mama dan papa galakkan. Maka lebih jauh Haira terpisah dengan keluarganya.”

“Sampai bila kebenaran tergantung begitu? Bila Haira balik Malaysia, umi dan abah terus dikejutkan dengan berita kematian anaknya. Anak umi dan abah mati tanpa sempat mengetahui kebenaran. Anak umi dan abah mati tanpa sempat merasai kasih sayang ibu bapa kandung. Anak umi dan abah mati tanpa sempat umi dan abah limpahkan kasih sayang buatnya. Adik saya mati tanpa sempat saya melindungi dan menyayanginya.”

“Sakit sangat rasa ni, Rayla. Terlalu sakit. Saya gembira dapat adik perempuan tetapi sekelip mata dia dibawa pergi. Cuma Allah yang tahu bagaimana kehilangan Haira buat saya jadi sakit jiwa. Awak tahu kenapa jiwa saya sesakit ni? Sebab saya kehilangan adik saya. Kehilangan yang kekal.” Dia menunduk, mencengkam bajunya di bahagian dada.

Ya Tuhan. Aku mahu tenangkan dirinya tetapi dia sakit begini disebabkan keluarga aku. Aku risau hatinya makin sakit andai aku menyentuhnya.

“Jadi disebabkan itu, saya minta awak, satu-satunya anak mama dan papa sebagai galang ganti. Saya minta awak jadi isteri saya. Saya tak peduli awak tak mahu saya, saya tetap nak hidup awak. Umi dan abah minta mama dan papa pujuk dan rayu awak supaya kahwin dengan saya. Serahkan seluruh hidup awak pada saya, ubatkan luka yang terlalu sakit ni. Luka yang mama dan papa beri buat saya sekeluarga sangat sakit. Saya nak awak jadi ubat kami biarpun akhirnya awak akan menderita.”

Biarpun akhirnya aku yang menderita? Terkelu tak terkata terus mendengar bicara dan luahannya. Jadi benar lah aku adalah mangsa keadaan. Disebabkan kesalahan mama dan papa aku suatu masa dulu, aku yang terpaksa menerima balasan. Rupa-rupanya sebelum ini orang tuaku meminta tolong aku memikul balasan ini bagi pihak mereka.

“Saya tahu mama dan papa sedih dan berat hati sebab terpaksa serahkan satu-satu anaknya kepada lelaki serba kekurangan seperti saya. But then... Mereka terpaksa terima sebab itu balasan buat mereka. Begitu lah yang umi dan abah rasa sewaktu mama dan papa berkeras mahu mengambil dan menjaga Haira. Kafarah pasti tiba, cepat atau lambat. Umi dan abah dipaksa serahkan anak mereka pada keluarga kaya suatu masa dulu dan sekarang mama dan papa dipaksa serahkan anak dia pada keluarga miskin serba daif. Balasan Allah tu sentiasa adil.”

Aku pandang wajahnya, mengangguk perlahan bersetuju dengannya. “Yaa. Saya percaya balasan Allah sentiasa adil... Dan saya nak minta maaf atas segala kesalahan mama dan papa suatu masa dulu. Mereka tak hilang saya cuma serahkan saya pada awak... tapi keluarga awak hilang Haira. Saya minta maaf, awak. Saya minta maaf sangat. Saya tak pernah tahu Haira bukan adik saya, dia adik awak. Saya tak tahu apa-apa.” Aku melurut tubuh jatuh di kaki dia. 

“Kesalahan kami sangat besar, ambil lah hidup saya. Saya sanggup serahkan hidup saya pada awak. Ambil lah supaya sakit di hati awak mampu berkurang.” Kakinya aku peluk erat. Dapat aku rasa kesakitan dia, umi dan abah kehilangan Haira. Satu-satunya anak perempuan mereka dan satu-satunya adik suamiku.

“Maafkan saya jika saya ada sakitkan hati awak masa awal-awal perkahwinan dulu. Kini saya mengerti kenapa awak layan begitu. Saya faham dan saya mengaku saya terasa hati. Tapi lepas saya tahu semua ni, saya memang layak dilayan dengan teruk.”

Dia diam tidak berkutik. Tak menjawab apa-apa. Tak juga tolak aku dari terus memeluk kakinya. Tak berani aku mahu mengangkat wajah memandang dia. 

“Saya minta maaf....abang...” Aku kuatkan hati memandang dia. Jelas dia tersentak dengan panggilan yang aku gunakan. Terbuntang matanya. Terus ditarik aku untuk berdiri. 

“Panggil apa tadi?” Muka dia tampak merah. Marah ke? Aduh, aku salah panggil ke?

“Panggil apa tadi?!” Jerkah dia kuat bila aku diam tak membalas.

“Errr... abang... saya minta maaf kalau salah. Saya...”

“Keluar!”

Terkejut kecut perut aku dihalau begitu. Salah ke aku panggil dia abang? “Err saya minta maaf kalau salah. Saya tak berniat nak...”

 “Keluar sekarang! Keluar!! Keluar!!!”


No comments:

Post a Comment