DAN keadaan kami pada hari yang seterusnya menjadi seperti di awal-awal perkahwinan dulu. Cuma aku semakin berlembut dengan dia, tidak meninggikan suara biar pun dia buat telinga tuli. Sentiasa masak untuknya biar pun kadang kala dia tidak makan. Sentiasa menunggu dia pulang kerja biar pun kadang kala dia marah dan perli aku.
Aku akan cuba menjadi isteri yang baik untuknya. Dia
layak mendapat habuan setelah bertahun-tahun menderita. Dan aku juga layak
mendapat balasan setelah bertahun-tahun bahagia dengan adik orang lain. Aku
kesiankan diri aku dilayan bagai isteri tidak diingini begini, tapi aku lebih
kesiankan dirinya. Tak apa lah, tiba masa untuk aku mengalah.
“Awak, saya nak minta izin keluar hujung minggu ni.” Aku
bersuara perlahan saat tangan masih bekerja mengurut bahunya. Setiap malam aku
mengurut bahunya walaupun dia tidak suruh. Entah lah, sama ada aku mahu ambil
hatinya atau sekadar menyenangkan hatinya.
“Nak pergi mana?” Dia langsung menoleh. Terlepas tanganku
di bahunya.
“Erm... Saya nak tengok wayang.” Sudah lama aku tak masuk
panggung wayang. Gian pula rasa.
“Dengan siapa?” Keras suaranya menyoal. Nampak gaya macam
tak boleh saja.
“Kawan. Tapi kalau awak tak bagi saya tak keluar.” Aku
tak mahu dia mengamuk malam-malam begini. Dah letih bekerja, nanti letih
mengamuk pula.
Dia diam lama. Aku tak mahu ambil risiko bertanya dua
kali. Faham benar maksudnya tak boleh lah tu. Aku teruskan urutan di bahunya.
Kalau sebelum ini segan mengurutnya tanpa alas, sekarang aku mula biasakan
diri.
“Keluar nanti pergi mana?”
Oh tak habis lagi perbualan ini. Ingatkan tamat dah.
Allah la... Payah diteka jiwa Haq Raez. “Mega Mall...”
“Okey, keluar dengan saya.” Sejurus berkata itu dia
langsung berdiri dan melangkah ke bilik. Aku yang tercengang pada mulanya,
lambat-lambat timbul juga sebaris senyuman di bibir. Terima kasih, awak.
PAGI-PAGI lagi dia ajak aku keluar. Mall pun tak buka lagi cik abang oi. Tapi aku malas nak bersoal
jawab. Dia bersetuju untuk bawa keluar bersama pun aku dah cukup gembira.
Pakaian santai saja. Senang mahu ke mana-mana. Itu arahannya dan seperti biasa
aku cuma menurut.
Rupanya dia singgah dulu di taman rekreasi. Mahu ambil
udara segar. Aku bersetuju tanpa banyak soal. Bila dia berjalan, aku juga
berjalan. Bila dia berjoging, aku juga begitu. Bila dia berlari-lari anak, aku
turut membuka langkah mengejar langkah panjangnya.
Tertawa dia melihat aku tercungap-cungap sendiri. Senang
hati aku melihat dia ketawa begitu. Payah mahu buat dia tarik senyum. Memanjang
muka stress depan aku. Kami berjalan beriringan sambil dia membuat senaman
ringan. Aku cuma memerhati di sekeliling. Ramai juga orang beriadah hari ini.
“Lepas ni kita pergi makan. Then baru gerak Mega Mall.” Katanya tanpa memandang aku.
“Okey.” Jawabku ringkas. Tak memandangnya juga. Tiba-tiba
terasa ada tangan yang bergesel dengan tanganku. Mulanya aku biarkan namun
makin lama makin kerap pula ia bergesel. Berhati-hati aku mendongak
memandangnya.
Sejurus aku memandang, dia terus menyulam jemari kami
bersama. Meramas tanganku berkali-kali. Terkejut dalam hati usah dikata namun
tidak pula aku berdaya mahu menolak sulaman jari yang dia berikan.
“Awak...” Aku menggeliat sikit tanganku bila dia tak henti-henti
meramas. Aku tak betah. Terasa ada elektrik dalam badan yang sedang dicas.
“Saya nak minta maaf...”
Langsung kaku. Atas sebab apa dia mahu minta maaf?
“Sebab ambil hidup awak...” Sambungnya meleraikan
kekusutan di kepala.
Ohh sebab itu. “Kan saya dah kata...”
“Dan marah awak beberapa minggu lepas...” Pintasnya.
Marah? Aku sudah lali dimarahi dia.
“Awak ikhlas terima saya?” Soalan pula dia layangkan.
Terdiam sekejap memikirkan jawapan untuk soalan itu.
Ikhlas atau tidak, cuma Allah yang tahu. Aku tak pasti aku ikhlas atau tak, aku
lakukan ini untuk tebus kembali kesalahan orang tuaku pada zaman lampau. Aku
rasa serba salah dengan takdir keluarganya, jadi aku relakan diri menjadi sebahagian
dari keluarga kecilnya.
“Saya banyak kekurangan.”
Betul. Dulu aku nampak setiap kekurangan dia tetapi
sekarang perasaan aku terhadap dia sudah lain. Kekurangan dia kini aku lihat
sebagai kelebihan buat hubungan kami. Anehnya rasa ini. Hanya aku yang tidak mengerti
bagaimana mahu mengawal.
“Saya juga banyak kekurangan.” Balas aku, tidak mahu dia
merendah diri.
“Sejak kita kahwin awak banyak bersabar dengan saya.
Walaupun tak tahu hujung pangkal cerita, awak tetap layan saya. Dan sejak dah
tahu kebenaran, awak lebih baik dengan saya.”
Ya dan kebiasaannya aku tak begitu dengan mana-mana
lelaki. Dengan Haq Raez saja aku rasa seperti perempuan terhegeh-hegeh.
“Saya tak tahu kenapa perasaan ini berubah.”
Berubah bagaimana? Dalam hati saja aku mampu menyoal.
Ramai yang melontarkan pandangan serong kepada kami kerana Haq masih tidak mahu
melepaskan tanganku. Pasti mereka fikir yang bukan-bukan. Apa kami tidak
kelihatan seperti pasangan suami isteri?
“Saya tak ada apa-apa perasaan terhadap awak sebelum ni.
Malah rasa belas pun tak ada. Saya berkahwin semata-mata nak rampas hidup
awak.”
Haram sebenarnya berkahwin kerana dendam. Moga Tuhan
mengampunkan kami.
“Awak dah pun berjaya, Haq.” Aku mula membalas genggaman
tangannya. Dia menunduk memandang aku. Mengeluh perlahan sebelum membawa aku ke
kedai makan. Dia memesan makanan dan minuman tanpa bertanya aku.
“Saya tak layan awak, buat awak seperti orang asing
supaya perasaan ni tak berubah. Tetap keras tanpa belas. Namun awak tahu,
perasaan ini masih beralih arah. Mungkin saya terlalu angkuh dengan hati yang
sangat mudah Tuhan bolak-balikkan.”
Aku faham maksud dia tapi aku tak tahu mahu balas apa.
Sudahnya aku biarkan kata-katanya hilang di angin lalu. Bagai mahu tercabut
jantung ini bila dia sekali lagi melepaskan perasaan pada tanganku. Aduh,
bergelora jiwa dibuatnya. Tangannya sangat kekar dan urat belikat jelas timbul
di kekura tangannya. Kalau cuma sentuhan di tangan mampu buat aku resah begini
apa lagi sentuhan di tempat lain...
Jauhnya kau fikir, Rayla. Sekat. Bina dinding!
SELEPAS menonton wayang bersama-sama, dia membawa aku ke
tempat yang tak disangka-sangka. Bukit. Dia ajak aku mendaki memandangkan hari
sudah pun petang. Pastinya, bukan setakat mendaki lah. Pasti ada perkara yang
dia mahu perkatakan.
“Awak kerja apa?” Melihat dia asyik mendaki sambil
pandang bawah, aku bertindak mulakan bicara. Pandang lah muka aku ni. Cantik muka
aku lagi dari jalan tar tu.
Terdongak kepalanya mendengar soalan aku. Aku tersenyum
kecil sebelum mengalihkan mata ke lain. Kayu yang aku pegang untuk menampung
berat untuk mendaki bukit ini aku ketuk perlahan di atas jalan.
“Saya kerja mekanik. Erm, pasal nafkah... bukan saya tak
cukup duit nak bagi awak nafkah... cuma...”
“Eh tak apa lah. Saya tak kisah pun. Awak jangan lah
risau, saya ada duit sendiri.” Aku pun tak mahu susahkan dia. Lagipun aku tanya
pekerjaan dia cuma mahu kesahihan saja. Bukan sebab nak ungkit tentang nafkah.
“Saya minta maaf.”
“Tak apa lah, awakk...” Aku ketawa dan cuit sikit
perutnya. Tercalar ke ego seorang suami bila isteri ada pendapatan sendiri?
“Nanti saya bagi. Ganti enam bulan yang saya tak bagi
tu.” Dia turut senyum. Walaupun cuma sedikit senyumannya tapi berjaya
melebarkan senyuman di bibir aku. Angau seorang kut aku ni.
“Awak kerja di bengkel mana?”
“Nanti saya bawa awak.”
“Bos tak marah?”
Dia pandang aku. Geleng kepala. “Tak lah. Bos baik
sangat.”
Terangguk-angguk kepala aku. Tak tahu mahu tanya apa
lagi, aku zip bibir. Mengikut dakian cekap dia. Kelihatan seperti dia sudah
biasa mendaki. Tak termengah-mengah macam aku.
“Awak pula kerja apa?” Dia pulang soalan aku bila kami
duduk rehat di bangku yang disediakan sebelum meneruskan dakian. Entah berapa
lama lagi mahu habis. Aku rasa seperti tak larat dah.
“Saya kerja bahagian Occupational
Safety and Health.”
“Wow.” Terlopong mulut dia memandang aku. “Tak ramai
perempuan kerja tu. Berani ya?”
“Dah minat. Gaji pun banyak.” Aku bangga diri, bukan bos pun nak membangga diri segala. Sempat hati mengutuk. Tak ada lah
banyak sangat gaji. Cukup lah untuk aku sentiasa bersyukur dengan rezeki yang Tuhan
berikan.
“Kat mana? Kosmetik Dato Vida ke?” Eh pandai dah dia
bergurau.
“Tak lah. Saya kerja di Hotel. Bahagian safety and health, saya jaga. Setiap
ceruk hotel tu saya kena check.
Setiap minggu kena pergi meronda hotel. Dah macam bodyguard.” Aku ketawa perlahan. Agak berat kerja aku, dan ramai
orang yang tidak senang.
Sekali lagi mulutnya melopong luas. “Double wow! Like seriously?”
“Yup like seriously.
Mencabar juga lah, nak berurusan dengan semua department. Bukan semua orang suka kerja saya, setuju dengan apa
saya decide. Tapi Alhamdulillah, so far tak pernah kena ganggu dengan mereka. Alhamdulillah.”
“Ohh. Saya tak sangka awak kerja begitu. Saya cuma kerja
mekanik.” Nampak muka dia tak berapa senang. Ya lah suami mana yang akan okey
je bila tahu isteri sendiri kerja lebih tinggi.
“Awak nak tahu tak? Saya daripada dulu suka mekanik.
Comot-comot dia pun, tak tahu lah kat mata saya ni nampak hot. Plus, sekarang ni
kereta tak tahan lama, sekejap-sekejap rosak. Bukan semua orang ambil tahu
tentang kereta. Kereta rosak sikit terus call
mekanik. Untung jadi mekanik ni. Senang dapat duit.” Aku sedapkan hati dia.
Sungguh aku tak kisah pun dia kerja apa. Janji halal dan hulur kepada orang
tua. Biar gaji sikit asal diberkati.
“Hmm ye lah tu... Jom lah sambung daki. Nak dekat pukul 6
suku dah.” Dia bingkas bangkit. Ceh tak makan puji ke? Aku cakap benda betul.
“Haq...” Aku seru namanya yang sudah melangkah jauh ke hadapan.
Lekas dia paling ke belakang.
Lama aku pandang dia. Dia lelaki yang sangat biasa tapi
perasaan aku untuk dia sangat pelik. Dia bukan lelaki manis tapi cara dia
seperti memikat aku untuk lebih rapat.
“Kenapa ni?” Dia sudah berada di hadapanku. Aku ketap
bibir. Boleh tak aku nak bermanja dengan dia... Bermanja sebagai kawan pun aku
rela. Aku sangat dahagakan perhatiannya.
“Saya dah tak larat nak teruskan.” Aku perlahankan suara.
Risau reaksinya tak seperti yang aku harapkan.
“Then nak balik
ke? Rugi, sikit je lagi. Usaha lah.”
Ahh... Begitu lah Haq Raez. Masakan dia akan berlembut
dan manjakan aku. Walaupun sebagai kawan pun rasanya mustahil.
“Okeyy lah...” Aku mengalah. Terlebih dahulu aku berjalan
melepasinya. Tidak lah nak merajuk atau terasa hati, sekadar mahu menunjukkan
pada dia yang aku akan berusaha seperti yang dia suruh.
Lama aku berjalan sendiri tetapi kelibat dia tak
kelihatan. Akhirnya aku berpaling ke belakang. Dia masih berdiri di tempat
tadi. Lebih kurang 100 meter dari aku. Aku tak berniat mahu kembali pada dia,
hanya melihat dia dari jauh.
Akhirnya, dia membuka langkah berjalan mendekati aku. Aku
menunduk, sembunyi senyum. Seperti dia sedang cuba untuk mengalah dengan aku.
“Sejak bila pandai merajuk?” Pipiku dicubit perlahan. Aku
terus terpanar. Muka rasa sangat panas bila dia usap kembali pipi yang dicubit
tadi.
“Pandai merajuk eh sekarang?” Dia hulur senyuman ringkas.
“Mana ada saya merajuk. Saya cuma...”
“Okay whatever,
saya malas dengar. Naik lah belakang saya.” Dia tundukkan badan, beri belakang
tubuhnya kepada aku.
Naik belakang dia? Yes!
Yes!! Yes!!! Aku rasa mahu buat lompat bintang sekarang juga. At last, dia faham apa yang aku
inginkan. Tak buang masa, berhati-hati aku naik di belakangnya. Melingkari lehernya
dengan kedua-dua belah tanganku. Bila dia berdiri, aku melingkari perutnya
dengan kakiku. Muka pula aku benam di lehernya.
“Nasib baik tak berat and
tak ramai orang.” Dia merungut sendiri. Aku di belakang cuma senyum-senyum.
“Terima kasih, awak...” Aku bisik di tepi telinganya
sebelum membenamkan semula muka di celah leher itu sambil mengeratkan rangkulan
di tubuhnya.
Sampai ke sudah dia diam tak menjawab ucapan terima kasih
aku. Entah apa yang terdetik di hatinya bila aku berperangai begini. Aku tak
nak ambil peduli yang penting aku berjaya menagih perhatiannya.
No comments:
Post a Comment