Thursday, August 27, 2020

BAB 5 - DENDAM TERAKHIR SEORANG LELAKI


SUDAH tiga hari berturut-turut dia minta nombor akaun bank aku tetapi sengaja aku buat-buat lupa. Kali ini dia tak mahu berkompromi lagi. Sampai sanggup mencemar kaki masuk bilik aku semata-mata nak nombor akaun bank. Aku juga tak terfikir dia boleh selamba redah bilik aku.

“Nak bagi ke tak?” Dia kepung aku yang sudah melekat di almari. Wajah aku yang setara dengan dadanya aku tundukkan lagi. Tak pernah serapat ini dengan dia dan jujur aku bahagia walaupun sukar mahu hapuskan debar yang tak jemu bertandang.

Bila muka dia makin jatuh mahu mendarat di leher aku, aku segera bersetuju untuk memberinya nombor akaun tersebut. I want to play hard but I truly can't. Aku sangat suka perasaan berada dekat dengannya dan aku tak pandai mahu mengawalnya. Gelora di jiwa bergoncang dengan sangat kuat. Aku masih perlukan masa untuk belajar menenangkan diri setiap kali mahu menghampirinya.

Sejurus memberi nombor akaun bank aku, terus dia melakukan transaksi online. Terkejut aku dengan kesungguhannya. Betul lah kut mungkin ego dia tercabar. Atau pun dia rasa serba salah dengan aku. Bila aku check malam itu, lebih membuatkan aku terkejut dengan jumlah yang dia beri. RM2500. Agak banyak jumlah itu bila aku fikir pekerjaannya. Aku tak mahu susahkan dia. 

Dan malam itu juga aku beranikan diri ketuk pintu biliknya, dengan alasan yang aku kira munasabah. Komplen duit yang dia beri terlalu banyak. Lagipun awal lagi mahu tidur. 

Hmm. Sebenarnya aku rindukan dia walaupun sekejap tadi berbual dengannya. Aku tak puas mencuri masanya. Dua kali aku ketuk pintu baru lah dengar suara dia meminta aku masuk. Ohh... Kebiasaannya dia yang akan keluar dan bercakap dengan aku di luar.

“Kenapa?” Sepatah dia menyoal bila aku menutup pintu. Sibuk dia melayari internet. 

“Err tak... Yang duit awak bagi tu kan...”

Dia alihkan mata dari skrin komputer memandang aku. “Kenapa? Tak cukup? Sikit sangat?”

“Eh bukan... Sebenarnya banyak sangat tu. Saya bukan buat apa pun.” 

Then saya kena ambil balik apa yang saya bagi? Buruk lah siku saya nanti?” 

Aduh. Ya tak ya juga. Dahi yang tidak gatal aku garu perlahan. Kenapa aku tak fikir soal ini tadi? Masakan dia mahu ambil semula duit yang dia berikan pada aku. Kalau setakat nak komplen esok pagi pun boleh. Kenapa mesti malam ini juga? Serba salah aku melihat muka tak ada reaksi dia. Mesti dia fikir aku sengaja cari alasan mahu bercakap dan berbual dengannya. Alaaa malunya aku! 

“Sini kejap.” Arah dia tiba-tiba bersama gerakan jari telunjuk. Dia mengarah aku seperti aku benar-benar di bawah telunjuknya. Aku akur. Ya lah aku memang sentiasa menunggu arahannya.

“Tengok tu.” Dia muncungkan bibir ke arah komputer. Aku toleh pandang sebelum menundukkan sedikit tubuh. Tidak aku duga saat aku cuba melihat apa yang terpampang di komputer, dia langsung tarik tubuh aku jatuh di atas ribanya. Spontan tubuhku mengeras. 

“Awak...”

“Tengok saya buat apa? Tengok komputer tu.” Tangan dia menjalar di pinggang aku. Merangkul erat. Jantung aku berdegup terlalu pantas. Bagai mahu melompat keluar dan mencari tempat untuk menyorok. Kalau tadi setakat main-main kepung, sekarang.... Permainannya semakin hebat!

Wajah dia merapati wajah aku. Tangan aku diambil dan diletak di bahunya sebelum dia kembali memeluk pinggangku. Aku tak tahu mahu bereaksi bagaimana. Tadi sebab tak puas mengada-ngada dengan Haq, aku sanggup menebalkan muka ke sini. Sekarang, terus Tuhan bagi apa yang aku inginkan. Pun begitu, kedudukan ini terlalu mesra dan intim. Sedangkan hubungan kami masih di awangan tanpa hala tujuan.

Relax lah. Pucat sangat muka tu. Saya bukan hantu.” 

Aku berdeham perlahan. Tak keluar suara pun. Suara aku pun dah sesat dalam kerongkong mendengar suaranya rapat benar di telinga. Belum habis debar, terasa pula tangan kekarnya mengusap-usap pinggang dan perutku. Senak sungguh perutku dia kerjakan. 

“Tengok komputer. Bukan saya. Tak ada apa yang istimewa kat muka saya. Kalau nak tengok sangat tengok atas katil nanti.” Sekali lagi dia bagi amaran. Erkk. Terus aku pandang komputer walaupun tak boleh fokus.

Tertera di situ.... 'Percutian ke Bandung'. Buntang mata aku. Siapa pula nak pergi bercuti? 

“Apa ni awak?”

“Tak reti baca?” Sedas kena perli.

“Maksud saya, kenapa awak tunjuk ni pada saya?”

“Awak rasa?” Dia main balas soalan pula. Tak sempat aku berfikir panjang, dia sudah berdiri bersama aku dalam dukungan. Dek kerana risau tergolek jatuh, rela hati aku paut lehernya.

“Awak...” Risau aku melihat bening matanya. Bagai sedang meminta sesuatu daripada aku dalam diam.

“Awak datang ke bilik saya tanpa saya suruh. Terima kasih. Saya anggap awak rezeki terbesar saya yang Tuhan turunkan.”

Rezeki dia? Apa maksudnya? Katil bujang tu pun bagai menggamit kami ke sana buat aku bertambah resah.

“Awakkk, sayaa...”

“Panggil abang.” 

Kepala lutut aku mula longgar mendengar arahannya itu. 

“Panggil abang. Abang takkan marah lagi. Abang takkan halau lagi. Panggil abang, Rayla.” Sumpah suara dan mukanya saat ini terlalu manis untuk aku telan. 

“Rayla, panggil abang...”

“Abang...?” Aku akur lagi dengan arahannya. Kalau sebelum ini dia mengarah aku tanpa nada sekalipun aku menurut... apatah lagi dengan suara romantis begini.

“Ya, sayang.” Balasnya sebelum bertindak mencium pipi aku. Lama. Aduh, sayang? Dia sayangkan aku? Benarkah... Dan ciumannya terlalu hangat menyebabkan aku terpaksa menolak mukanya menjauh. Ciuman pertama yang aku rasa ikhlas dan ada rasa sayang tapi entah kenapa ada rasa risau untuk menerima.

“Kenapa dengan aw... bang?”

Dia senyum, berjalan perlahan ke arah katil, aku kira. Aduh duh duh.... Aku tak buat apa-apa persiapan lagi. 

“Abang...” Lembut aku memanggilnya.

“Hmm... Abang tak tahu Rayla boleh terima abang atau tak. Abang tak tahu selama ini Rayla ikhlas bersama dengan abang atau tak. Abang cuma tahu selama setengah tahun ni hanya Rayla seorang yang berusaha untuk menyenangkan hati abang. To be honest, I am touched.” 

Tak berkelip mata aku memandangnya. Aku masih diam membiarkan dia terus berkata-kata.

“Abang selalu cuba nak rapat dengan Rayla, tapi abang segan. Abang tak boleh terima hakikat andai Rayla menolak kehadiran abang. Jadi abang biarkan dulu, sekadar nak tengok rentak Rayla. Masa kita daki bukit tu... Rayla nampak selesa dengan abang, dan abang sedar Rayla nakkan perhatian abang. Terdetik dalam hati abang... Mungkin ini permulaan dalam perhubungan kita...”

“Rayla memang selalu nakkan perhatian abang... Rayla selalu kata pada diri sendiri, tak apa lah abang tak dapat layan Rayla seperti seorang isteri sekalipun tapi bagi lah perhatian pada Rayla walaupun sebagai kawan.” Aku mengiakan malu-malu.

Melebar terus senyuman dia. Bibirnya singgah lagi di pipi aku. Ya Tuhan, rasa bahagia ini tidak terucap. “Kita mulakan hubungan dengan kawan... boleh?”

Aku angguk perlahan. Bersetuju. Lapang dada aku dengan penerimaannya. Masa itu juga dia letak aku di atas katilnya.

“Tidur sekali... boleh?” Dia turut naik ke atas katil bujangnya itu.

“Tapi kawan tak tidur sekali.” 

“Kita special sikit. Boleh tidur sekali.” Dia baringkan aku membelakanginya sebelum dia baring rapat di belakang aku, melingkari tangannya di tubuh aku. Rambutku diselak ke tepi dan dia letak mukanya di situ. Dapat aku rasa dia sedut bau aku di situ. Geli dan aku menggeliat tapi dia makin jauh membenamkan hidung.

“Hmm.. Abang... Bandung tu...?” Persoalan yang belum terjawab.

Honeymoon kita, sayang.” Kali kedua dia ucap sayang dan hati aku terus berdebak debuk jatuh padanya.

No comments:

Post a Comment