SEBAIK saja aku pulang ke rumah, tak tukar pakaian, aku
terus buat kerja rumah dan memasak untuk makan malam. Ayam masak thai, sayur
campur dan bandung ais. Aku berharap sangat perubahan dia kekal dan niatnya
tidak menyimpang. Aku tak minta belaian kasih sayang atau perhatian yang
melebih-lebih, cuma mahu dia menghargai kehadiran aku.
Selesai menghidang dan menutupnya dengan saji, aku
bersihkan diri. Menunaikan solat maghrib selepas itu aku melepak di ruang tamu
sambil melipat pakaian. Kebanyakan baju dia bewarna gelap terutama hitam. Salah
satu daripada bajunya aku ambil dan bawa ke muka. Wangi. Bau dia yang bergabung
dengan bau harum sabun. Aku tersenyum sendiri. Berdiri dekat dengan dia pun
jarang malah mungkin tak pernah, bagaimana lah aku boleh kenal baunya.
Aku sudahkan kerja tersebut sebelum melayan media sosial
di handphone. Mencari nama Haq di contact. Percaya lah, aku cuma simpan
saja nombornya. Tak pernah menelefon, menghantar pesanan ringkas, whatsapp atau
apa saja pada suamiku itu. Dia juga begitu. Entahkan tak simpan pun nombor aku.
Aku membuka profile
whatsapp dia. Tak ada kerja, stalk
suami sendiri. Kalau sebelum ini dia letak gambar singa sebagai profile picture whatsapp tapi kali ini
dia sudah tukar, letak gambar dia yang comot sedang baiki kereta. Pertama kali
dia letak gambar sendiri, segera aku save
gambar tersebut di gallery.
Aku pernah cuba mencari dia di facebook, instagram,
wechat, twitter dan apa saja lah media sosial yang wujud tapi tak jumpa.
Mungkin dia tak layan benda tu semua. Atau aku yang tak pandai cari.
Leka aku melayan media sosial, tak sedar jam sudah
berdetik angka 11. Dan dia masih tidak pulang. Sepatutnya waktu ini aku sudah
bersiap untuk tidur tetapi memikirkan sikap dia yang semakin baik, aku jadi
tidak mengantuk. Keraskan hati menunggu dia walaupun dulu ada kenangan tak
elok. Semoga dia pulang lah hari ni.
Hampir pukul 12 malam, dalam mamai aku, terdengar enjin
kereta masuk perkarangan rumah. Akhirnya, dia dah balik! Cepat aku bangun dan
kemaskan diri. Siap bukakan pintu dan tunggu dia di depan. Dia nampak tergamam
bila melihat aku, tapi kemudian dia tunjuk reaksi tak peduli.
“Tak tidur lagi?” Dia utarakan soalan, melabuhkan duduk
di sofa ruang tamu. Mungkin sekadar mahu melepaskan lelah. Wajah dan tubuh dia
jelas menunjukkan dia letih dan penat.
“Saya tunggu awak. Awak dah makan?”
Dia geleng kepala. Meletakkan kepala di kepala sofa,
memejamkan mata. Serba salah aku mahu dia ajak makan. Diam aku berdiri
memandangnya. Seperti hamba menunggu arahan tuannya. Ahh, sadisnya perumpaan
itu.
“Sini kejap.” Mulut bersuara dengan mata masih terpejam.
Lambat-lambat aku menghampirinya. Dia buka mata, tepuk tempat di sebelah
menyuruh aku duduk.
“Urut bahu saya. Lenguh sangat.” Dia tumbuk-tumbuk bahu
dia sebelum memalingkan tubuh membelakangi aku. Aku langsung terkejut bila dia
buka baju. Urut bahu dia? Boleh. Tapi urut bahu dia tanpa alas... aku segan. Tak pernah dia minta begitu.
Beberapa minit aku tak beri tindak balas, dia pandang
aku. Buat muka, kau-tak-dengar-arahan-aku-ke-perempuan? Aku ketap bibir
sendiri. Kenapa begitu buruk sangkaanku terhadapnya?
“Tak nak urut? Oh ya... Sorry kalau bau masam, tengik. Tak suka? Tak apa. Saya masuk
tidur.” Dia bangun, dan bagai kilat cepat aku pegang lengannya. Wah. Keras dan
kekar. Teruja aku untuk seketika.
“Bukan tak nak atau tak suka. Saya cuma tak biasa tadi. Errr,
awak duduk lah. Saya urut.” Aku kentalkan jiwa. Kalau lengan pun kekar dan sasa
begitu, apa lagi bahunya. Aduhai... Dalam debar aku urut bahunya tanpa minyak.
Perlahan... dan semakin kuat urutanku beri. Sesekali dia sendawa buang angin.
“Tak sangka awak pandai urut.” Dia puji dan aku cuma
diam. Teruskan mengurutnya. Sakit sudah tangan ini tapi aku tak berhenti.
Beberapa minit selepas itu baru lah dia pegang tanganku, menyuruhku berhenti.
Hangat tangannya di atas kekura tanganku menjadikan aku bertambah berdebar. Dan entah kenapa rasa aneh seperti kian
bercambah.
“Thanks.” Dia
genggam tanganku. Ya Tuhan, aku rasa tanganku tidak berada di soketnya. Tak
pernah kami bergenggam tangan begini. Sebenarnya,
kami tak pernah bersentuhan pun. Sejak dulu aku ingin menyentuh kulitnya tetapi
rasa risau dan malu lebih mendominasi. Jadi, aku hanya mampu pendam perasaan
itu.
“Okey lah, jom makan. Awak masak kan?” Sambung dia bila
aku tak beri jawapan. Saat aku masih diam, dia tarik tangan aku ke dapur.
Tak dinafikan lagi, Haq Raez memang sedang berubah.
No comments:
Post a Comment